Friday, July 8, 2011

BERSALIN NORMAL atau CAESAREAN

PENGALAMAN MELALUI PROSES BERSALIN NORMAL DAN BERSALIN SECARA CAESAREAN

Assalamualaikum wbt

Fitrahnya bukan mudah untuk melahirkan anak ke dunia. Kesakitan yang ditanggung sang ibu hanya Allah sahaja yang tahu. Pengalaman Ummi bersalinkan Nur Iman Damia Ahmad Saufi pada tanggal 12 Ogos 2010 tahun lalu benar-benar membuka mata Ummi bahawa jasa seorang ibu sangatlah mulia demi memberikan nafas pada anakanda yang tercinta. Bila berkongsi dengan Ma tentang kesakitan proses melahirkan anak, Ummi memberitahunya bahawa Ummi seperti tidak percaya bahawa melahirkan itu tidak menyakitkan sebab Ma selalu beritahu sakitnya cuma sekejap sahaja. Kemudian apabila Ummi melalui pengalaman tersebut dan memberitahu Ummi tahu, Ma bimbang along(Ummi) takut sebab tu Ma cakap tak sakit. Ma Cuma ketawa bersahaja.

Ummi berpengalaman melalui proses bersalin seperti wanita normal yang lain, namun kerana komplikasi yang Ummi lalui menyebabkan Ummi tiada pilihan selain bersalin melalui kaedah pembedahan yang mana Ummi selalu ‘study’ semasa mengandung. Ini kerana Ummi tidak mahu pengetahuan hanya tertumpu pada bersalin normal sahaja. Allah Maha Kaya, semasa Doktor Fatimah tekad untuk melakukan emergency caesarean pada Ummi, Ummi rasa Ummi pasrah dan bersedia untuk melaluinya dengan sedikit ilmu yang diketahui. Siapalah yang tidak takut dan cuak apabila menghadapi tempoh untuk bersalin apatah lagi tiba-tiba sahaja perlu menjalani pembedahan. Namun Ummi percaya, ibu-ibu di luar sana akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan anak yang tersayang akan dilahirkan dengan selamat walaupun selalu Ummi mendengar kata-kata ‘takut’ daripada rakan-rakan yang belum berkahwin mahupun yang sudah berkahwin.

**SEDIH**


Orang lain Ummi tak tahu, tetapi pada peringkat awal Ummi berasa sedih kerana tidak melalui proses bersalin secara normal. Ummi rasa seperti tidak lengkap dan seolah-olah Ummi tidak berusaha bersungguh-sungguh sewaktu cuba bersalin secara normal. Tetapi lama-kelamaan Ummi berjaya mengatasi perasaan rendah diri dengan memotivasikan diri. Bukanlah pinta Ummi untuk melalui kaedah caesarean, semua ni bukankah ketentuan dari Allah. Kenapa perlu Ummi mempersoalkan dan terus-menerus memikirkan dan menyalahkan keadaan sekeliling? Sekurang-kurangnya Allah beri Ummi peluang menikmati rasa sakit kontraksi sekalipun itu adalah yang terakhir yang dapat Ummi rasai. Malah Allah masih memberi peluang Ummi hidup dan dapat membesarkan anak dengan baik, InshaAllah~~

Semua orang berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan Ummi dan Nur Iman Damia selamat sejak di bilik bersalin. Apabila Doktor memberitahu Ummi perlu dibedah untuk mengelakkan bayi lemas, Ummi tergamam kerana Ummi tahu kudrat Ummi waktu itu sangat terhad. Jadi Ummi serahkan semuanya pada Allah dan pada Operation Team untuk menyelamatkan nyawa anak dan Ummi. Alhamdulillah, mereka sangat cekap membuat kerja.

Perasaan Ummi sewaktu di dalam bilik pembedahan? Ummi bertenang, sebab Ummi tahu hidup mati di saat itu sangat dekat jadi manfaatkan waktu dengan mengingati Allah dan banyak2 berdoa untuk keselamatan anak dan ummi. Terdengar juga Doktor tiba-tiba berkata, “Mana kepala baby ni…” Ummi menunggu shj sehinggalah Doktor berkata, “Assalamualaikum,” pada anakanda yang tercinta ini. Kemudian, selepas ditunjukkan jantina anakanda barulah Ummi berasa sangat letih dan tertidur beberapa jam. Mengalami kontraksi bersalin merupakan pengalaman yang tidak akan dilupakan. Walaupun pada waktu itu Ummi rasa nyawa bagai dihujung tanduk tetapi apabila mengenangkan kembali, ia sebenarnya indah. Jasa seorang ibu sangatlah besar.

**Abi**



Abi sedaya upaya mahu bersama Ummi di dalam bilik pembedahan tetapi prosedur membataskan. Ma menceritakan segalanya pada Ummi tentang Abi yang menangisi keadaan Ummi yang langsung tidak berdaya sewaktu diusung ke dewan pembedahan. Nurse2 yang ada di sekeliling ada yang turut menangis melihat Abi menangis di kerusi. Menangis Ummi dibuatnya bila Ma bercerita, sampai sekarang Abi tak pernah ceritakan pada Ummi tentang tangisan tu, tapi Abi tahu Ummi tahu sebab Ummi bertanya, “Abang menangis ke? Abang takut Ummi mati ke?” Jawapan Abi cuma, “Owh, Allah sahaja yang tahu, Ummi. Macam-macam perkara ada dalam hati Abi.” Ummi senyum sambil pandang dinding (kesat air mata. Abi tak cakap Abi sayang Ummi tapi jawapan Abi sebenarnya cukup memberitahu Ummi perasaan Abi pada Ummi. Terima kasih Abi krn banyak berkorban untuk Ummi dan Nur Iman Damia)

**Selepas dibedah**

Seumur hidup Ummi, Ummi tak pernah sakit sampai kena tahan di wad walaupun semasa bayi. Tapi bersalin sudah tentu Ummi akan berkampung di hospital. Bersalin di hospital dengan ‘pakej’ dibedah memang suatu pengalaman yang tak dapat Ummi lupakan sampai bila-bila apatah lagi memikirkan perkataan ‘lapah’.

Selepas melalui tempoh 12jam selepas bersalin, pagi-pagi doctor Fatimah dah datang melawat dan memberikan nasihat supaya berehat daripada bersalin selama 2 tahun. (yang mana Ummi dah melanggar nasihat seorang Doktor Pakar). Ummi juga disuruh supaya belajar berjalan dan jangan asyik berbaring sahaja untuk mengelakkan kesukaran bergerak. Tengahari tu, Ummi di papah Ma ke tandas selepas tiub air kencing dicabut dan Ummi gagahkan diri untuk berjalan. Ummi sukar untuk berjalan mungkin kerana berat badan Ummi yang melampau dan urat2 saraf masih lagi tidak sembuh, disamping keletihan menghadapi tempoh2 bersalin normal. Pain killer pun masih tidak mencukupkan Ummi untuk menahan sakit.

Tempat jahit pun memang sakitlah ya. Sangat sakit tapi Alhamdulillah, tak mati pun bila paksakan diri berjalan. Jangan takut-takut. Baru Ummi memahami perasaan insan OKU yang mengalami kelumpuhan. Ummi merasakan diri Ummi serba daif, tidak mampu bergerak seperti biasa. Itu semua adalah pengalaman yang tak mampu dibeli dengan wang tunai. Pada waktu itu semuanya Ummi rasa ‘nightmare’, tetapi selepas tempoh itu tamat, Ummi menganggap semuanya adalah pengalaman manis sepanjang hayat.

**Mengandung kali ke-2**



Melalui tempoh / proses bersalin membuatkan Ummi rasa serik. Tetapi selepas melihat wajah anak, semua sakit tu Ummi dah lupa sampai sekarang kecuali sakit melalui proses pembedahan. Sepatutnya Ummi perlu merancang kehamilan kali ke-2. Ada kisah disebalik keengganan Ummi berjumpa doktor untuk menjarakkan kelahiran.

Anak rezeki dari Allah, Ummi terima dengan perasaan bercampur baur pada mulanya. Siapa yang tidak cuak. Abi dan Ummi sama2 ternganga sewaktu melihat keputusan pregnancy test. Masa tu di Terengganu. Betul sangkaan Ummi. Agak lama Ummi membisukan diri, tak mengkhabarkan pada sesiapa tetapi naluri ibu, Ma dapat membaca Ummi sedang mengandung kerana dia selalu bertanya tentang diri Ummi. Memang mulanya Ummi kena marah, biasalah, Ma risaukan Ummi. Dia yang jaga Ummi sepanjang berpantang. Dia tahu kesusahan Ummi selepas dibedah. Tetapi Ummi cakap sekali je, sampai skarang Ma tak marah Ummi tetapi Ma pesan, selepas ni jgn ‘makNga’ lagi a.k.a cuai. “Ma jangan lah marah2, kesian baby…Mcm marah dia je.” Hehehe….Ayat sedih.

Ada masa, hati Ummi mendidih juga bila ada suara-suara sumbang seolah-olah nak mengajar Ummi untuk menghadkan anak yang dikandungkan Ummi. Seolah-olah rezeki tu dia yang tentukan walhal Allah sahajalah yang mengetahui segalanya. Sedangkan nasi yang di suap di dalam mulutnya juga Allah yang tentukan bilangan butirnya.

**Normal atau Caeserean**

Seorang ibu, emak, mama, ummi, amma, mami atau apa sahaja gelaran yang disandang pasti mahu yang terbaik untuk anakanda. Ummi juga begitu. Ummi harap, apa sahaja kaedah yang telah dicadangkan akan Ummi dapat hadapi dengan baik. Ummi sudah berhadapan dengan dua pengalaman serentak, bukan bermakna ilmu penuh di dada. Sampai sekarang Ummi masih mencari info dan nasihat-nasihat orang yang berpengalaman untuk menghadapi saat bersalin kelak.

Jumpa lagi~

Usia kandungan sudah mencecah 7bulan, Ummi cuma ada masa dalam dua bulan sahaja untuk menyambut kehadiran orang baru. Doakan Ummi dan baby selamat. Iman Damia juga selalu cium perut Ummi tanpa disuruh, sayangggg Mia... Kakak yang aktif dan agak cemburu~